Pembaca Forum Index Pembaca
Sebuah perkampungan peminat ilmu dan bahan bacaan
 
 FAQFAQ   SearchSearch   MemberlistMemberlist   UsergroupsUsergroups   RegisterRegister 
 ProfileProfile   Log in to check your private messagesLog in to check your private messages   Log inLog in 

Important Notice: We regret to inform you that our free phpBB forum hosting service will be discontinued by the end of June 30, 2024. If you wish to migrate to our paid hosting service, please contact billing@hostonnet.com.
Nostalgia Ramadan

 
Post new topic   Reply to topic    Pembaca Forum Index -> Cerpen
View previous topic :: View next topic  
Author Message
admin
Site Admin


Joined: 20 Jun 2008
Posts: 304
Location: Kepala Batas, Alor Setar

PostPosted: Mon Sep 01, 2008 1:50 am    Post subject: Nostalgia Ramadan Reply with quote

Sastera Utusan

Kampung tercinta kami tatkala Ramadan menjelang, tidak pernah luput dari ingatan nostalgia kami sejak dari kanak-kanak lagi. Kampung tradisional nun jauh di pinggir pedalaman.

Kampung yang masih mengekalkan nilai-nilai murni serta budaya adat ketimuran yang penuh keluhuran. Kami bangga menjadi warga desa yang penuh muhibah dan toleransi. Semenjak dari kecil lagi, tidak pernah kami dengar selisih faham atau bermasam muka antara penduduk kampung meski berlainan fahaman dan ideologi politik yang dianuti mereka. Perasaan kasih sayang dan silaturrahim sentiasa melekat dan melebat di dalam sanubari kami warga desa apatah lagi saat-saat bulan Ramadan penuh mubarak mula menjengah tiba.

Kami anak-anak kampungan yang hidup serba daif dan kekurangan, cukup teruja meraikan kehadiran bulan suci yang dilimpahkan pelbagai berkat itu. Kata bonda, bulan ini semua orang lslam yang berpuasa menahan lapar dahaga akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Tuhan. Kata Tuan Guru Haji Derasik Al-Fatani, yang muncul setiap kali Ramadan menjengah tiba di madrasah tua di pinggir kampung, bau busuk dari mulut orang yang berpuasa akan digantikan dengan bau kesturi yang semerbak wangi di akhirat nanti. Kata Tuan Guru yang zuhud serta alim itu lagi, puasa bukan sekadar menahan makan dan minum, tetapi hati, mulut, telinga, mata serta tangan dan kaki harus dijaga supaya menjauhi maksiat dan perkara-perkara yang terlarang.

Kami dengar betul-betul nasihat Tuan Guru yang khabarnya berasal dari selatan negara jiran itu setiap kali dinasihatinya kami pada sesi tarbiah serta tazkirah tatkala kami sudahi separuh daripada ibadat solat sunat tarawih dan witir di madrasah kayu separuh usang yang melimpah jemaahnya hingga ke hujung tangga. Kami yang masih kecil, akan duduk di belakang saf orang-orang dewasa menunaikan rukuk dan sujud berulang dan berulang kali sehingga terasa kebas seluruh urat kaki. Namun, dek, teringatkan betapa besarnya fadilat dan pahala solat sunat itu, kami teruskan juga meski ada di kalangan kami yang tidak lagi terdaya hatta untuk duduk tahiyat sekali pun.

Namun, segala penat lelah kami, meramaikan jemaah pada malam-malam Ramadan terbayar tatkala segala macam kuih-muih yang disedekahkan orang kampung dijamu sebaik kami bersama orang-orang tua turut bertadarus membaca al-Quran dengan suara mersik nyaring melagukan tilawah dengan pengawasan Tuan Guru Haji Derasik Al-Fatani yang sememangnya mahir al-Quran itu. Justeru, bersantaplah kami dengan penuh sopan menjamu selera apa-apa sahaja yang terhidang sambil mendengar cerita perihal malam Lailatul Qadar yang penuh keajaiban itu.

Pelbagai ragam kisah yang meniti dari mulut ke mulut orang dewasa sambil sesekali diselangi kisah para sahabat nabi serta ulama silam mengisi malam Lailatul Qadar dari bibir Tuan Guru Haji Derasik al-Fatani yang rendah perlahan itu. Kami yang masih kecil ini sekadar menjadi pendengar yang setia. Kami kutip setiap patah nasihat dan rangkap pesan dari mulut guru yang cukup kami sanjungi itu. Pada kami, dialah mursyid yang kaya dengan ilmu pengetahuan. Segala macam ilmu fardu ain dan kifayah diajarnya kami sehingga kami anak-anak kampung yang kurang pendidikan ini dapat menghafal puluhan ayat-ayat suci yang kami jadikan penawar atau pendinding tatkala menghadapi bahaya serta kesusahan dalam hidup.

“Ayat-ayat suci ini adalah ubat bagi segala macam penyakit. Amallah selalu setiap masa susah dan senang, nescaya Allah akan ingat kepada kita jika kita ingat kepada-Nya. Yang paling penting, kamu mesti ada keyakinan diri”. Itulah yang selalu dipesannya berulang -ulang kali seusai solat asar tatkala perut kami mula berkeroncong kuat menahan lapar menunggu detik berbuka puasa yang masih jauh.

Benarlah seperti kata Tuan Guru Haji Derasik al-Fatani, waktu-waktu senggang menanti berbuka di pangkin madrasah kayu, tempat kami selalu berkumpul menghafaz puluhan ayat al-Quran dan hadis, maka berbondong-bondong orang kampung membawa segala macam juadah berbuka puasa yang tidak pernah kami rasai sebelum ini.

“Ini rezeki Allah kepada orang yang suka berjihad di jalan-Nya. Ingat, Tuhan sayang orang-orang yang cintakan agama. Nanti, apabila kamu sudah dewasa, jadilah agama sebagai panduan hidup”, pesan Haji Derasik al-Fatani itu kami simpan di lubuk memori kami sampai bila-bila.

Solat

Dan buat pertama kalilah juga, Ramadan yang entah bila diajarnya kami menghidupkan malam dengan solat tahajud, solat hajat, berwirid dan berzikir pada awal pagi di madrasah kayu yang telah menjadi rumah kedua kami sementara menunggu waktu bersahur. Kata Haji Derasik al-Fatani, bersahur itu amalan nabi. Jangan tinggalkan amalan bersahur kerana banyak fadilat dan manfaatnya dari segi kesihatan. Justeru itulah, meski betapa mengantuknya mata kami, tetaplah kami cuba bangkit membasuh muka sebelum menyuapi mulut dengan apa-apa sahaja makanan yang ada terhidang.

Subuh yang dingin maksyuk menusuk ke tulang temulang menjadi pentas untuk kami berebut-rebut mengalunkan azan yang berkumandang ke seluruh pelosok kampung sebaik disuruh oleh Tuan Guru Haji Derasik al-Fatani. Kami bangga apabila ada kalangan kami yang mendapat pujian guru kami yang tercinta itu. Apatah lagi, seorang dua kami mendapat gelaran Bilal bin Rabah sempena nama tukang azan di zaman rasulullah yang memiliki suara yang lunak merdu serta mengasyikkan. Entah secara kebetulan, di antara kalangan kami, nama Ahmad Ramadanlah yang sentiasa mendapat tempat di hati guru Haji Derasik. Kelunakan suara Ahmad Ramadan sentiasa ditagih untuk mengalunkan azan baik maghrib mahu pun subuh, bertadarus al-Quran, mengetuai bacaan doa mahu pun menjadi imam tatkala beliau keluar ke bandar untuk mendapatkan bekalan makanan yang kehabisan. Kami bangga bergurukan Haji Derasik al-Fatani.

Kerendahan hatinya menyerlah. Kasih sayangnya kepada kami sentiasa melebat dari hari ke hari. Dari raut air mukanya yang dilitupi jambang itu terpancar sifat kebapaannya terhadap kami meski yang kami tahu Haji Derasik al-Fatani tidak mempunyai zuriat.

Setiap kali Ramadan demi Ramadan menjengah hadir, juadah yang tidak pernah kami lupai pada detik-detik berbuka puasa tiada lain hanyalah bubur lambuk. Kerana itu, sebaik Asar berakhir, diajaknya kami bergotong royong memasak bubur lambuk yang dicampur dengan segala macam ulam dan pucuk daun kayu serta ramuan-ramuan yang menyelerakan. Halaman madrasah kayu yang sedikit berumput itulah menjadi tempat kami berhempas pulas menyalakan api sehingga hitam legam kulit muka kami dipanggang kepanasan dek keinginan yang membara untuk melihat hasil air tangan kami siap sebelum geduk maghrib berdentum memecah keheningan kampung.

Begitulah tatkala hari terakhir bulan Ramadan bakal berangkat pergi, kami tidak lagi dapat menemui wajah guru yang kami sanjungi itu. Yang kami tahu, sebelum Syawal tiba, Tuan Guru Haji Derasik al-Fatani pulang ke kampung halamannya di daerah Pattani, Selatan Thai untuk menyambut lebaran Aidilfitri bersama kaum keluarga dan sanak saudara di sana. Sejak itu,kami terasa kehilangan tempat bergantung. Tiada lagi, suara lunak nyaring menghabisi surah sejadah pada setiap subuh Jumaat. Tiada lagi zikir asyiknya mengalunkan asmaul husna pada wirid terakhir sesudah isyak. Tiada lagi, gema lantangnya menyampaikan tazkirah menyampai pesan dan pedoman buat penduduk-penduduk kampung yang masih dibuai dengan keseronokan dunia. Sejak itu, kami rindukan kehadiranya ke kampung pedalaman tercinta ini pada setiap Ramadan menjelang. Ramadan tanpa Tuan Guru Haji Derasik al-Fatani bagaikan kehilangan serinya di tanah desa kelahiran ini. Cinta kami terhadap guru agama ini begitu menebal.

Begitu kukuh dari hari ke hari. Kami tunggui dengan sabar kehadirannya lagi detik kalendar Ramadan muncul di lembaran musim. Alangkah bertuahnya setiap kali kami dapat berimamkan guru agama berkelulusan Umul Quura,di Madinah Munarawah itu. Terasa tenang dan damai setiap kali mengikuti kuliah paginya yang diselangselikan dengan wirid dan doa panjangnya. Hati terbuai menikmati kisah-kisah para anbia serta ulama tersohor dahulu kala. Diajarnya kami segala macam sunah dan tatacara yang penuh berakhlak. Pesannya selalu pada kami ialah jagalah akhlak dan tingkah laku. Akhlak itu cermin peradaban. Dihujung nasihatnya pada kami tiada lain banyakkan sabar dan bertawakal serta jangan mudah berputus asa dari rahmat Allah. Kami hafaz setiap patah kata dan lenggok pesanan itu. Kami tahu, Ramadanlah ujian sebenar terhadap tahap kesabaran dan ketabahan kami. Tatkala dikisahkan tentang kehebatan Rasulullah dan sahabat berjihad mengangkat senjata melawan golongan kuffar di dalam perang Badar waktu Ramadan hadir membuatkan hati kami mudah tersentuh.

Mengenangi

Kami menitiskan air mata mengenangi sirah perjuangan itu. Kala Ramadan mula hadir, kami bertekad berperang melawan hawa nafsu yang meraja di hati kami. Kami tahu, itulah jihad yang paling tinggi yang dijanjikan Tuhan untuk kami. Dan bertekadlah kami untuk menunaikan rukun lslam kedua ini dengan sebaik-baiknya.

Mimpi kami tiada lain hanya ingin mencari malam Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir di hujung Ramadan. Kami tahu, di situlah letaknya keberkatan Tuhan yang Maha pengasih dan penyayang.

Musim beredar dan hari berlabuh pergi silih berganti. Usia kami juga makin menginjak ke pintu keremajaan. Makin meningkat usia, makin berganda cabaran dan godaan yang kami tempuhi. Kampung tradisi yang kami kasihi ini juga perlahan-lahan berubah mengikut peredaran zaman. Namun, yang kami tetap ingat, tetamu besar itu tidak pernah lupa menginjakkan kaki di tanah desa kami untuk menumpahkan bakti beramal penuh tulus hari-hari yang melimpah keberkatan ini.

Ilmu keagamaan yang kami terima daripada bibir mulus Tuan Guru Haji Derasik al-Fatani tidak pernah seinci pun kami abaikan. Makin banyak cabaran dan dugaan hidup yang kami terima makin teguh nilai-nilai murni yang menyerap ke dalam peribadi kami. Kami jadikan pegangan agama sebagai tunjang melawan budaya kuning yang mula terbias melanda anak-anak remaja di desa pedalaman ini. Ketika budaya lepak dan berhibur, pergaulan bebas serta penagihan dadah dalam diam-diam menyebarkan virus negatifnya di kalangan anak-anak muda seusia kami, ternyata di kalangan kami sudah terpacak teguh benteng akidah dan akhlak mahmudah yang ditanamkan oleh guru kami yang tercinta pada musim-musim Ramadan menjengah hadir. Dialah yang menyalakan obor ketakwaan di jiwa kami sehingga terhindar dari jalan-jalan kesesatan dan kepalsuan.

Dialah mursyid itu Tuan Guru Haji Derasik al-Fatani. Sumbangannya menyuburkan keilmuan di dada kami jauh melebihi daripada bakti ibu bapa kami sendiri. Kami, anak-anak asuhannya yang kian membesar ini tidak akan lupa sama sekali apatah lagi saat-saat tibanya kalendar Ramadan seperti ini.Nama itulah yang kekal melekat di hujung lidah kami pada setiap lafaz doa seusai kewajipan kami terhadap pencipta. Kerana sepotong nama itulah, kami mengenal kalam Tuhan, tahu batas halal haram, berani menyatakan perkara benar atau mungkar sepanjang usia keremajaan kami yang berliku ini.

Nostalgia Ramadan kami tidak pernah terpadam sepanjang hayat. Malah ,tatkala kami sudah mampu berdikari serta dilepaskan oleh ibu bapa kami untuk belajar menghirup udara yang berkeladak cemar itu, kami bawa nostalgia itu bersama-sama ke tengah hiruk pikuk kota raya. Nostalgia Ramadan di tanah desa kampungan itulah yang terindah untuk kami kenangi. Kami susun setiap rangkap dan aksara sebagai panduan dan pedoman. Ramadan demi Ramadan yang silih menjelma, kenangan itulah yang terus hidup dan subur menaungi peribadi kami, anak-anak didik Tuan Guru Haji Derasik al-Fatani yang mula mencari haluan masing-masing.

Apa yang sedikit tersentuh di hati kecil kami, semenjak tiga Ramadan yang lalu, kami selama-lamanya tidak lagi dapat menemui insan yang kami sanjungi itu. Perkhabaran yang kami terima, cukup meluluhkan seluruh atma ini. Kami diberitahu Haji Derasik al-Fatani terbunuh bersama ratusan syuhada dalam tragedi serangan tentera-tentera kuffar Thailand di masjid Kersik, Yala beberapa tahun terdahulu. Tubuhnya yang erat memeluk al-Quran, ditembak dari jarak dekat menembusi dada dan kepala. Sewaktu operasi pengecaman mayat dilakukan beberapa hari kemudian, kami diberitahu yang darah ditubuhnya masih basah mengalir.

Bangga

Jauh di lubuk naluri kami bangga kerana kesyahidan yang selama ini dimimpikan olehnya telah tergapai. Lantas, beramai-ramailah kami berkumpul di madrasah kayu bertakbir menyempurnakan solat jenazah secara ghaib memohon roh guru tercinta kami itu dihimpunkan ke dalam syurga firdaus. Genap dua tahun sesudah itu tatkala Ramadan baru beberapa hari menjelang, sekali lagi kami berhimpun di madrasah kayu di hujung kampung sambil bersolat jenazah ghaib serta bertahlil buat sahabat kami, Ahmad Ramadan yang menyelusuri jejak guru kami, mempertaruhkan nyawa sebagai syahid sesudah terbunuh tatkala membantu pejuang-pejuang Taliban dalam serangan tentera Amerika di tengah Kabul, Afghanistan. Ahmad Ramadan memilih untuk berjihad seusai berakhir pengajiannya di universiti Pakistan.

Musim-musim Ramadan yang terasa akrab ini, kami cantumkan kembali serpihan-serpihan ingatan terindah itu. Kami jilidkan dalam manuskrip nostalgia paling mengasyikkan di dalam riwayat hidup kami anak- anak desa tercinta. Seluruh nostalgia silam itu terpampang di setiap sudut dan galeri memori kami. Namun paling mengharukan tatkala Ramadan-Ramadan terakhir ini sesudah kami telah rasmi membina kerjaya menjadi warga kota besar ini, kami diberitahu tanah desa tercinta kami nun jauh di pedalaman telah dibangunkan menjadi lebuh raya besar serta pusat industri perkayuan tersohor.

Madrasah kayu tempat kami menimba ilmu telah hilang lenyap ditelan kemajuan. Malah, pondok-pondok berdaun nipah yag kami habisi sepanjang petang menghafaz ayat-ayat al-Quran juga telah tiada lagi. Paya, kebun kelapa, tasik dan danau yang jernih menghijau tempat kami berwuduk serta mengagumi kebesaran pencipta juga telah lenyap. Hutan rimba serta bukit bukau yang menjadi taman permainan kami menjerat ayam hutan sebagai hidangan enak berbuka puasa kini sudah hilang.

Ramadan ini, kami telah kehilangan segala-galanya. Cuma yang tinggal hanyalah sisa-sisa nostalgia yang masih berbekas di lubuk naluri kami. Nostalgia Ramadan di kampung tercinta. Nostalgia terindah yang tidak kami ketahui entah bila akan kekal bersemadi atau turut lenyap dimamah waktu.
_________________
Yang Benar,Admin.
Back to top
View user's profile Send private message Send e-mail Visit poster's website
Display posts from previous:   
Post new topic   Reply to topic    Pembaca Forum Index -> Cerpen All times are GMT + 8 Hours
Page 1 of 1

 
Jump to:  
You cannot post new topics in this forum
You cannot reply to topics in this forum
You cannot edit your posts in this forum
You cannot delete your posts in this forum
You cannot vote in polls in this forum


Powered by phpBB © phpBB Group. Hosted by phpBB.BizHat.com

Free Web Hosting | File Hosting | Photo Gallery | Matrimonial


Powered by PhpBB.BizHat.com, setup your forum now!
For Support, visit Forums.BizHat.com