Pembaca Forum Index Pembaca
Sebuah perkampungan peminat ilmu dan bahan bacaan
 
 FAQFAQ   SearchSearch   MemberlistMemberlist   UsergroupsUsergroups   RegisterRegister 
 ProfileProfile   Log in to check your private messagesLog in to check your private messages   Log inLog in 

Important Notice: We regret to inform you that our free phpBB forum hosting service will be discontinued by the end of June 30, 2024. If you wish to migrate to our paid hosting service, please contact billing@hostonnet.com.
ANTI PLOT

 
Post new topic   Reply to topic    Pembaca Forum Index -> Cerpen
View previous topic :: View next topic  
Author Message
admin
Site Admin


Joined: 20 Jun 2008
Posts: 304
Location: Kepala Batas, Alor Setar

PostPosted: Sun Sep 28, 2008 9:33 pm    Post subject: ANTI PLOT Reply with quote

SASTERA

ARKIB : 22/06/2008 Utusan
ANTI PLOT

SUMON akan menyambutku di lapangan terbang. Dhaka, bukankah itu pilihan yang janggal sekali untuk memulakan perjalanan kali ini? Tidak semestinya, Sumon bersungguh-sungguh menerangkan, malah acap kali mengajakku bertandang. Aduh habuk menerpa muka sebaik sahaja aku melangkahkan kaki keluar lapangan terbang. Manusia terlalu ramai, bergayut di pagar terminal ketibaan.

“Apa yang mereka cari?” tanyaku kebodoh-bodohan.

Pertanyaan kau itu sepatutnya berbunyi, “Siapa yang mereka tunggu? Sanak saudara tentunya. Ayuh aku bawa kau ke Parjatan Hotel Abakash.”

Aku senyum, terlupa Sumon baru menikah. Tentu aku tidak dapat menginap di rumahnya dengan bebas.

“Kita akan ambil jalan jauh sedikit. Ada demonstrasi dan sudah mulai jadi bunga rusuhan.” Kata Sumon setelah datang semula mendapatkanku

“Bantah kenaikan harga barang?”

“Bantah filem Fitna. Tahu?”

Aku angguk. Fikiranku menerawang. Apa yang umat Islam bantah? Apakah motif sebenar Geert Wilders? Menurut Wilders beliau melakukannya kerana mahu mempertahankan kebebasan Barat yang sedang diancam oleh umat Islam, oleh al-Quran. Begitulah tulis Wilders dalam akhbar De Volkskrant. Begitu cara politikus liar itu melihat sebab dan akibat.

“Kau sudah menontonnya?”

Kami naik beca.

“Ya, aku menahan diri dari beremosi dan menonton Fitna. Dan aku dapati Wilders adalah akibat dari satu sebab yang sama. Dia sendiri mangsa. Dia mangsa yang tidak memahami bahawa Islam adalah agama selamat, sebuah agama kebajikan, sebuah agama berharapan dunia akhirat kerana dia seperti ramai yang lain menjadi mangsa salah faham terhadap Islam.”

Sumon menelan air liur, menggenyeh hidungnya yang terpacak. “Susah ada teman penyair seperti kau ini. Salah faham apa?”

“Islam yang digambarkan dalam Fitna bukan begitu. Islam dalam Fitna, bagaimana? Pengisian Fitna awal lagi memaparkan sebuah kitab suci Al-Quran, diikuti klip serangan ke atas WTC di New York pada 11 September 2001. Fitna kemudian menyorot pula peristiwa pengeboman berani mati di London pada Julai 2005 dan di kota Madrid pada Mac 2004.”

Sumon sedikit marah, “Eh, nanti dulu. Bukankah perbuatan jahat yang mencemarkan Islam itu dilakukan oleh al-Qaeda? Kumpulan ekstrem Islam yang mazhabnya tidak ada beza dengan Bahai dan Qadiani. Mereka menganut sebuah mazhab yang diasaskan oleh Barat untuk menyebabkan kekecohan dalam Islam sendiri? Dan bukankah al-Qaeda yang dipimpin Osama bin Laden itu sendiri pernah menjadi juak Barat ketika era perang Afghanistan-USSR?”

“Argh kau tahu bukan, yang Fitna bukan mengenai Islam yang kau kenal. Ia mengenai Islam yang ditafsirkan secara sempit oleh orang sesempit Wilders juga. Ia mengenai sekumpulan umat Islam yang tidak menggunakan akal yang logik dan menafsirkan al-Quran dan melakukan takwil sesuka hati. Jadi, untuk mengatasi hal ini, supaya tiada Fitna lagi disuguhkan kelak, apakah kau atau kita semua ingin merusuh dan memusnahkan ekonomi kita yang sedia sesak tanpa sebab? Khusus di negara seperti Bangladesh ini?”

Aku diam. Sumon diam. Aku melempar pandangan. Dhaka – semuanya sudah kuhadam sebelum turun pesawat. Aku suka untuk bersedia sebelum menapak di sesuatu tempat. Dhaka, sebuah ibu kota dunia ketiga dengan jalan yang maha lebar, blok menara simen yang seragam tetapi kelihatannya amat tua. Dhaka, didirikan oleh orang-orang Buddha dalam abad ke-4 masehi. Ia kemudian ditadbiri oleh penguasa Hindu sebelum jatuh ke tangan pemerintah Muslim Mughal dalam kurun ke-13 masehi. Di sinilah bermulanya zaman emas Dhaka, kerajaan Mughal dengan bijak merubah Dhaka menjadi sebuah kota pelabuhan yang sibuk dan ibu kota Bengal dalam tahun 1608. Sumbangan Mughal untuk Dhaka luar biasa sekali. Masjid dengan reka bentuk menggamamkan, istana sultan, bazar berbumbung, taman rekreasi dan kubu pertahanan untuk melindungi kota tersebut dari serangan lanun dan kuasa luar, antara jasa pemerintah Mughal untuk Dhaka.

Aku mencatat dalam kepala, kota Dhaka sentiasa sibuk. Basnya sarat manusia dan hampir-hampir senget rebah di tengah jalan tetapi masih berkudrat meneruskan perjalanan, bahkan amat laju sekali di luar duga. Memang ada setinggan di sepanjang rel keretapi seperti yang biasa kita lazimi dalam filem Hindi tetapi bangunan tinggi dan agam tidak terkecuali. Di setiap penjuru ada sahaja manusia dengan keringat membasahi tubuh, lencun bekerja. Ada juga peniaga jut melepasi kami sekali-sekala. Thela gaari atau kereta tarik yang biasanya disarati kelapa muda menguasai jalan raya di mana-mana.

Pembetulan

Aku memandang semula Sumon, “Atau kita melakukan pembetulan dari dalam iaitu menolak secara total ekstremis Islam dan menfatwakan bahawa yang sesat dan yang bukan Islam ialah kumpulan wahabi-salafi yang kebenciannya terhadap umat Islam yang tidak mengikut kehendak mereka dapat dijejaki sejauh sejarah puak khawarij. Khawarij yang telah membunuh Saidina Ali. Kita mesti dorong pembetulan dari dalam. Kerana Islam yang kita tahu mengajarkan dunia dibahagi kepada Penindas dan Yang Tertindas. Bukan Islam-Kafir. Ajaran Islam mengajar kita untuk melihat dunia dari kaca mata Penguasa Zalim dan Musthad‘afin.”

Sumon menghela nafas. Diam lagi. Aku kembali menujah pandangan ke sisi jalanan. Dan latar Dhaka mengakrabiku. Mungkin berguna untuk mengarang sebuah cerpen anti plot kelak. Aku tahu, Dhaka terletak di sisi sungai Buriganga bahagian tengah Bangladesh. Kebiasaannya bahagian selatan Dhaka sahaja yang menarik, wilayah utaranya adalah kawasan penempatan yang sesak. Di selatan inilah terletak kubu Lalbagh, bahagian dari kubu Aurangabad yang sebenarnya sebuah kubu tidak siap dibina. Selain kraftangan dari jut yang amat baik, Dhaka adalah tempat pengeluaran mutiara merah jambu. Bagaimana rupanya, entah aku sendiri tidak tahu.

Beca kami berkitar di kawasan lain, membelok entah bila. Serta merta pemandangan berbeza. “Kawasan terbaik untuk membeli belah ialah di Jalan Gajah.” Ujar Sumon agaknya menyangka aku membawa wang belanja yang banyak.

Aku hanya ralit memerhati lanskap bahagian persisiran sungai Buriganga nan menghijau, buluh yang memainkan irama, mangga yang ‘gemuk’ dan pokok palma. Benar, airnya keruh kopi atau teh susu dan sungai inilah yang akan bertali berhubungan dengan sungai-sungai hebat seperti Ganges dan Brahmaputra.

Aku menyambung, “Kau tahu asas Fitna adalah ketakutan kepada Islam yang dinamai Islamophobia. Eropah terlalu takut dengan Islam kerana seperti yang ditunjukkan Fitna, kebebasan mereka akan berakhir dengan Islam. Islam tidak mengekang kebebasan tetapi memulangkan semula kebebasan kepada Tuhan. Kita tahu sebahagian Eropah tidak percaya Tuhan, nah itu tugas kita semua untuk mengukuhkan falsafah dan kefahaman terhadap kewujudan Tuhan yang kita namakan ilmu tauhid supaya dapat menjelaskan kepada mereka kelak. Kita perlu menguasai ilmu logis kerana hanya dengan itulah kita akan dapat berhujah mengenai kewujudan Tuhan dan keindahan Islam, dan bagaimana kebebasan yang Islam tawarkan bukan kebebasan murahan.”

“Betul.” Nada suara Sumon seakan letih.

Aku menimbang fakta dalam benak. Terlalu banyak harus dilakukan untuk ummah. Dan kemiskinan adalah satu yang amat mendesak ditangani. Contohnya negara ini. Bangladesh didirikan dalam tahun 1971 setelah Bengali Timur berpisah dari Bengali Barat lalu masing-masing membentuk wilayah sendiri dinamai Bangladesh dan Pakistan. Kedua- duanya berpecah dari India. Entah bermacam usaha agaknya dilakukan untuk memperbaiki keadaan ekonomi tetapi Bangladesh kekal miskin. Dua pertiga rakyat Bangladesh memperoleh rezeki dari sektor dengan penanaman padi menjadi bahagian terpenting. Bangladesh juga sering dilanda malapetaka. Taufan dan banjir besar amat kerap. Korupsi keterlaluan, malah akhbar yang kubaca dalam penerbangan terang-terang menyenaraikan salah laku dan kegiatan rasuah ahli politiknya. Pun pelik sekali, pertumbuhan ekonomi Bangladesh masih bertahan lima peratus untuk beberapa tahun.

“Berapa ramai umat di sini?”

Sumon ketawa, “Rasminya 4 juta, tapi rasanya lebih kurang 7 atau 8 juta orang menyesakkan kota ini.”

“Panas sungguh.” Aku mengesat peluh dan Sumon seperti pemandu pelancong yang cekap memberitahu, “Musim begini 30 hingga 37 darjah selsius. Kalau musim dingin…”

“Oh ada musim dingin?”

“Antara 10 ke 20 darjah selsius. Hah, sudah tiba. Kita daftar masuk dahulu. Kemudian ke rumahku, makan nasi dan kari.” Sumon yang berwajah Saif Ali Khan senyum manis.


Aku ingat

Terlalu banyak yang aku ingat tentang Dhaka sebenarnya, Bukan sahaja Ahsan Manzil, istana sang nawab terakhir Dhaka. Bukan juga karavansarai Chotta Katra. Mungkin aku tergiur dengan Masjid Istara yang motif dindingnya memikat sekali. Tidak juga teringat tentang kari daging isteri Sumon yang lazat itu atau alunan muzik ektara yang bertali satu itu tetapi wajah Saidur Rahman Khan.

Siapa Saidur Rahman Khan?

Anak itu aku temui di hadapan Jatyo Sangsad atau bangunan parlimen. Dia meminta sedekah, merayu untuk aku menggambarinya dan kemudian meminta upah kerana tersenyum untuk lensa kameraku. Malam itu kala aku membersihkan kanta kamera, aku menilik kembali foto digital Saidur Rahman. Raut wajah sedih penuh kemelaratan meniti di hadapan retina mata ini. Dia cuba tersenyum. Sungguh-sungguh mencuba. Tetapi masih duka yang terpencar jernih.

Dukanya kerana dia hidup bangsat. Tetapi aku juga sempat mencatat sebelum tertidur. Kemelaratan dan kebangsatan yang harus segera diatasi ekoran Fitna. Selain miskin materi, orang Islam bangsat dan kontang ilmu. Ini kerana mereka meninggalkan sumber-sumber ilmu itu sendiri yakni sunnah Rasulullah dan keluarganya. Itu tadi sebab, dan antara akibatnya ialah sesetengah ibadah yang punya falsafah esoterik yang mendalam katakanlah umrah dan haji tidak lagi menjadi satu muhasabah, motivasi dan kekuatan dalam kalangan umat Islam melainkan ia menjadi satu ziarah, pelancongan dan upacara permukaan yang sia-sia. Islam kini juga hanya agama upacara yang tidak kemilau. Sedangkan Islam penuh dengan prinsip seperti amar makruf nahi mungkar yang membolehkan Islam berdepan dengan apa juga rintangan khususnya globalisasi. Termasuklah globalisasi seperti Fitna ini. Lihat sahaja karyawan filem di negaraku Malaysia, tiada seorang pun berasa terpanggil untuk menjawab Fitna. Mereka mementingkan diri dan tidak bertanggungjawab. Masih merakam realisme haru biru mat rempit dan bohsia selain menayang cinta murahan.

Aku menilik lagi foto Saidur Rahman. Dan entah bila aku sudah tertidur. Dalam tidur aku tidak cukup lena, kerana masih ada igauan dari dalam yang menjerkahku.

Huh, sampai bila umat Islam harus begini. Tidak memahami sebab dan akibat.
_________________
Yang Benar,Admin.
Back to top
View user's profile Send private message Send e-mail Visit poster's website
Display posts from previous:   
Post new topic   Reply to topic    Pembaca Forum Index -> Cerpen All times are GMT + 8 Hours
Page 1 of 1

 
Jump to:  
You cannot post new topics in this forum
You cannot reply to topics in this forum
You cannot edit your posts in this forum
You cannot delete your posts in this forum
You cannot vote in polls in this forum


Powered by phpBB © phpBB Group. Hosted by phpBB.BizHat.com

Free Web Hosting | File Hosting | Photo Gallery | Matrimonial


Powered by PhpBB.BizHat.com, setup your forum now!
For Support, visit Forums.BizHat.com